TRIP KUMPAU
Oleh:Barramundi(Utara Anglers Team)
Memancing di laut luas tiada siapa dapat menduga hasilnya. Apabila terlibat dalam sesuatu trip, kita selalunya berhasrat memperolehi hasil lumayan. Lagipun gambaran yang sering ditunjukkan kepada kita hanyalah kemeriahan pemancing menaikkan ikan-ikan yang banyak dan bersaiz bagak. Hakikatnya trip pancingan tidaklah selalu menjanjikan keceriaan. Ada masanya kita memperolehi hasil yang cukup ‘kering’ dan mengecewakan.
Apabila segala perancangan menemui halangan dan hasil yang diperolehi tidak dapat memenuhi gian pemancing, maka berlakulah satu episod trip yang gagal. Ada yang menyebut trip sedemikian sebagai trip hampeh atau ‘trip makan angin’ sahaja. Pemancing dari Sabah menggelarnya sebagai ‘trip kumpau.’
Terdapat beberapa sebab berlakunya episod trip kumpau. Di sini kami dari Utara Anglers Team (UAT) ingin berkongsi serba sedikit pengalaman tentang punca-punca utama yang mendorong ia terjadi dan cara penyelesaiannya. Diharap ia menjadi panduan berguna yang dapat membantu anda mengelakkan trip kumpau daripada menjadi badi atau sejarah yang berulang-ulang.
Gambaran yang salah
Dalam akhbar, majalah dan vcd pancing kita sering didedahkan dengan kemeriahan sesuatu trip. Kita ditayangkan dengan cerita-cerita keseronokan serta kemegahan pemancing menaikkan ikan-ikan termahal dan bersaiz bagak. Kita juga diperkenalkan dengan pelbagai teknik baru yang dipaparkan seolah-olah sering berjaya dan mendatangkan kepuasan serta merta. Hakikatnya, ia tidaklah selalu berlaku sedemikian.
Sebenarnya bukan tidak ada trip yang gagal. Tidak mungkin mana-mana pemancing, sama ada individu atau kumpulan, tidak pernah menempuh satu trip kumpau, atau sekurang-kurangnya trip yang kurang berbaloi. Tetapi cerita-cerita trip begitu dianggap terlalu negatif untuk didedahkan dan selalunya didiamkan begitu sahaja. Apatah lagi mahu diceritakan dalam akhbar atau majalah. Tidak ramai yang mahu menceritakan rahsia kegagalannya kerana ia seperti ‘membuka pekung di dada’. Seboleh-bolehnya mereka mahu menonjolkan cerita-cerita yang menarik perhatian sahaja.
Ini memberi isyarat yang tidak baik buat pemancing baru. Mereka akan dibiasakan dengan gambaran-gambaran yang salah dan palsu. Akibatnya mereka akan terdidik menjadi pemancing yang tidak rasional dan kurang penyabar. Bagi pemancing baru yang menempuh episod trip kumpau pertama kali, ‘kekumpauan’ itu pasti terasa sangat sukar diterima. Ia bagaikan pukulan TKO yang menyebabkan mereka terus rebah, serik dan tidak mahu terlibat dalam trip-trip pancingan lagi.
Sepatutnya para pemancing sama ada yang baru atau lama didedahkan sekali sekala dengan gambaran trip kumpau, supaya mereka sedar bahawa dunia pancingan tidaklah selalu menjanjikan hasil yang baik. Mereka perlu dijelaskan bahawa kegagalan pasti berlaku dan ia tidak perlulah dilihat dalam konteks yang negatif sahaja. Ada juga kebaikan di sebalik kehampaan yang dihadapi. Antaranya ia memberi pengajaran yang amat berguna kepada kita sebagai pemancing agar bersikap lebih berwaspada dan sentiasa menggunakan peluang yang ada untuk mempertingkatkan kemahiran serta memperbaiki kelemahan diri. Apa yang penting, para pemancing haruslah rajin membuat analisis tentang punca-punca terjadinya episod trip kumpau yang mereka sendiri pernah lalui.
Sifat-Sifat dan Punca
Apakah trip kumpau? Kenapakah ia berlaku? Bagaimanakah cara untuk kita mengatasinya? Ini adalah beberapa persoalan asas yang harus dikaji oleh setiap pemancing yang ingin berjaya. Walaupun dalam setengah keadaan, kejayaan atau kegagalan sesuatu trip itu adalah bersifat subjektif, namun ia dapat diukur berasaskan beberapa kriteria yang akan dijelaskan nanti.
Trip kumpau secara mudahnya bolehlah ditakrifkan sebagai satu trip yang gagal atau kurang berhasil. Ia bukanlah bermaksud hasil yang sedikit semata-mata, tetapi kadangkala diukur dari segi berbaloi atau tidaknya sesuatu kepuasan yang diperolehi. Ini dikira dari segi kos dan masa yang telah dikorbankan serta kesukaran-kesukaran yang terpaksa ditempuh dalam menjayakan sesuatu trip.
Pada umumnya, trip kumpau boleh berlaku dalam dua bentuk. Pertama, kumpau biasa yang sering terjadi dan ia biasanya dapat dijangkakan. Jika berlaku, ia boleh diterima sebagai satu ujian yang lumrah dan tidaklah begitu menggusarkan para pemancing. Bagi pemancing yang matang, mereka dapat menerima cabaran trip kumpau biasa ini dengan hati terbuka.
Kumpau peringkat kedua pula ialah kumpau tahap maksimum yang jarang berlaku, tetapi sesekali berlaku ia akan meninggalkan kesan yang amat negatif buat pemancing. Ia menyebabkan moral pemancing jatuh sama sekali, wujud salah faham dan kadangkala membawa kepada perbalahan. Trip kumpau peringkat kedua ini bolehlah disifatkan sebagai trip kumpau yang “sekumpau-kumpaunya”, atau sinisnya, kata sesetengah pemancing, “kumpau tahap gaban”!
Kumpau Biasa
Kumpau biasa sering berlaku apabila kita menempuh sekurang-kurangnya salah satu atau kesemua daripada keadaan yang berikut.
(1) Seseorang pemancing tidak mendapat sebarang ragutan walaupun memancing seharian. Ini biasa berlaku dan dapat diterima kerana sebab-sebab tertentu, khususnya jika pemancing itu orang baru atau mengalami masalah mabuk laut dan tidak dapat beraksi sebaiknya. Kes ini dianggap sebagai kumpau individu.
(2) Sekumpulan pemancing tidak mendapat hasil yang sepadan dengan kos yang ditanggung dan lokasi trip yang jauh. Misalnya mereka memancing dengan kos yang sangat mahal, tetapi hanya berjaya menaikkan hasil yang sedikit atau spesis-spesis ikan yang kurang digemari. Maka ini dianggap sebagai satu trip kumpau, iaitu kumpau berkumpulan.
(3) Pemancing menganjurkan trip khas untuk jigging atau popping. Segala perancangan disusun, peralatan yang canggih serta mahal dibeli dan lubuk yang tersohor dikunjungi. Tetapi akhirnya bukanlah teknik popping atau jigging yang menjadi sandaran menaikkan ikan. Sebaliknya kaedah pancingan biasa seperti dasar, apollo, bubu atau pukat sahaja yang berhasil. Walaupun hasil trip kali ini sangat banyak, namun ini juga dikira sebagai trip kumpau iaitu kumpau teknik.
(4) Pemancing mensasarkan ikan yang terbesar, terberat, termahal, tercantik, terhebat, terpelik dan sebagainya. Berasaskan matlamat yang “gila-gila” itu, mereka menjelajah sejauh benua India atau Afrika. Tetapi mereka hanya mampu menaikkan ikan yang sama spesisnya dengan yang terdapat di Malaysia. Contohnya pari, aruan tasik, alu-alu, belitung, talang, cupak dan lain-lain. Spesis yang bagak dan istimewa tidak muncul. Maka ini pun dikira sebagai trip kumpau juga, iaitu kumpau sasaran.
Banyak lagi jenis kekumpauan yang lain, bagaimanapun kes-kes di atas adalah yang biasa berlaku kepada kita. Semuanya membawa kepada episod trip kumpau dari peringkat yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada peringkat yang agak teruk. Walaupun begitu, ia masih tidak dianggap sebagai satu kekumpauan yang keterlaluan dan luar biasa. Mereka yang pernah melaluinya dapat menerimanya dengan rasional dan menganggapnya sebagai lumrah dunia pancingan yang hanyir.
Punca-punca kumpau
Terdapat banyak punca yang menyebabkan berlakunya kes-kes kekumpauan di atas. Antaranya ialah kerana faktor alam dan manusia.
Faktor alam yang mendorong timbulnya fenomena seperti ribut, cuaca, arus atau angin yang ganas dan tidak menentu boleh menggugat keberkesanan sesuatu teknik atau hasil pancingan. Kadangkala musim atau pasang surut yang tertentu tidak sesuai dengan sifat pemakanan ikan atau teknik pancingan yang digunakan di lubuk itu. Akibatnya terjadilah kes-kes ikan tidak begitu agresif atau langsung tidak menjamah umpan. Kadangkala ia berpunca daripada wujudnya faktor-faktor bersangkutan seperti keadaan air yang terlalu keruh, terlalu laju atau hujan yang lebat dan alun yang keras sehingga menyebabkan ikan kurang selera makan umpan ataupun pemancing terpaksa beralah kerana mabuk laut.
Trip kumpau juga berlaku kerana faktor kelemahan manusia, sama ada melibatkan pihak tekong atau pemancing sendiri. Sering berlaku kes-kes seperti bot rosak di tengah jalan atau tekong gagal memilih lubuk-lubuk yang sesuai untuk memancing. Terdapat juga tekong yang kurang pengalaman atau tidak mempunyai peralatan pancingan yang lengkap, khususnya peralatan asas seperti GPS dan sonar. Ini menyebabkan cara meletakkan botnya tidak betul atau tidak kena pada lubuknya. Sesetengah tekong bukan sahaja kurang pengalaman tetapi ‘cakap tak serupa bikin’, suka ‘naik angin’ dan bersikap ‘lepas tangan’. Sering terjadi kes-kes di mana tekong hanya menghabiskan masa dengan tidur dan membiarkan pemancing termenung kangkung menunggu sentapan ikan, biarpun sepatutnya ia berpindah mencari lubuk yang lebih baik.
Dalam kalangan pemancing juga selalu timbul beberapa masalah yang mendorong sesuatu trip menjadi kurang berhasil. Selalunya masalah berlaku apabila para pemancing kurang membuat persediaan fizikal dan mental serta peralatan pancing yang sepatutnya apabila memancing. Misalnya mereka tidak mempedulikan sangat persoalan sama ada alatan yang dibawanya atau kaedah yang digunakannya sesuai untuk memancing di sesuatu lubuk.
Sesetengah pemancing juga kurang berminat untuk mengambil tahu tentang asas-asas pancingan yang betul, atau tidak mengambil berat tentang hal-hal seperti musim, arus, cuaca dan maklumat tentang ikan, teknik memancing dan sebagainya yang sepatutnya dikuasainya sebagai seorang pemancing. Ada juga pemancing baru yang kurang pengalaman memancing tetapi malas belajar dan berlagak sombong serta susah ditegur terhadap sesuatu kelemahannya. Tidak dinafikan wujud juga faktor di luar kawalan seperti berlakunya kes-kes mabuk laut yang sukar dielakkan, kadangkala melibatkan seorang pemancing yang tegar.
Banyak lagi kelemahan yang terdapat pada diri para pemancing sendiri. Segala unsur kelemahan di atas boleh menjadi penyumbang kepada terjadinya trip-trip kumpau. Dalam sesetengah keadaan, kes-kes di atas boleh melarat kepada keadaan yang jauh lebih buruk sehingga menatijahkan kepada berlakunya trip kumpau yang ‘luar biasa’.
Kumpau tahap maksimum
Kumpau ini sangat jarang berlaku dan ia merupakan sesuatu hal yang tidak pernah dijangkakan para pemancing. Kes trip ‘kumpau tahap maksimum’ ini tidak mungkin dapat diterima sebagai sesuatu yang harus berlaku dalam sesuatu trip.
Jika berlaku, ia akan mematahkan terus semangat pemancing malah boleh menaikkan kemarahan mereka. Antara kes-kes yang boleh kita kategorikan dalam senarai trip ‘terkumpau’ atau ‘kumpau tahap maksimum’ ini ialah;
a) Tiap-tiap kali turun memancing, kita menghadapi gejala trip kumpau walaupun membayar kos yang sentiasa naik.
b) Tiap-tiap kali turun memancing, kita terkena ribut dan angin yang memaksa bot pulang tanpa sebarang hasil.
c) Tiap-tiap kali turun memancing, kesemua pemancing yang berada di atas bot terkena ‘wabak’ mabuk laut. Yang memancing hanyalah awak-awak dan tekong tetapi ikan kesemua dibawanya balik.
d) Sebagai penganjur, kita hanya diberitahu oleh tekong bahawa bot sedang diperbaiki sebaik sahaja sampai di jeti. Pemancing datang sejauh negeri Jepun!
e) Tekong yang membawa kita memancing tidak menjumpai sebarang lubuk. Oleh itu, sepanjang masa trip telah dihabiskan untuk berpindah randah dan membuat eksperimen mencari lubuk-lubuk baru.
f) Tekong yang ditempah oleh penganjur bukannya kaki trip tetapi kaki ‘skodeng’. Kerjanya sibuk mabuk laut, makan, tidur dan makan mengalahkan para pemancing!
Itulah sebahagian kes yang melibatkan trip kumpau tahap melampau. Barangkali ada lagi kes-kes lain yang lebih ‘luar biasa’, tetapi kes-kes di atas adalah antara realiti yang terpaksa dihadapi oleh setiap pemancing. Dalam menangani kes-kes kumpau biasa mahupun laur biasa ini, para pemancing hendaklah memikirkan langkah-langkah yang berkesan untuk mencegahnya.
Langkah-Langkah Mengatasi
Langkah mengelakkan trip kumpau sebenarnya terletak pada diri pemancing sendiri. Sebagai pemancing, mereka haruslah bersikap lebih prihatin semasa terlibat dalam sesuatu trip. Jika menempuh trip yang kumpau, mereka perlulah mengambil langkah yang sepatutnya untuk mengenalpasti segala kelemahan yang wujud. Jangan sesekali membiarkan kesilapan yang sama berulang lagi.
Sebagai pemancing, mereka perlulah bijak dan berhati-hati dalam memilih tekong dan bot yang ingin digunakan. Pastikan khidmat yang diberikan oleh tekong adalah yang terbaik. Tukar sahaja mana-mana tekong yang sering membuat hal dan jangan terikat dengannya kerana mentaliti tekong yang sedemikian tidak akan berubah dalam sekelip mata. Di samping itu, kita juga hendaklah memastikan bot yang digunakan mempunyai segala kemudahan yang penting seperti ruang tidur, tandas (ini penting sekiranya mabuk laut), GPS, sonar, telefon satelit, lampu, peralatan kecemasan, jaket keselamatan dan sebagainya.
Pilihlah waktu lokasi, arus, pasang surut dan musim yang sesuai untuk memancing. Elakkan daripada turun pada musim yang dijangkakan akan mendapat ribut. Pemilihan lokasi atau lubuk yang sesuai juga amat penting dititikberatkan. Pastikan lubuk yang dikunjungi berbaloi dengan kos yang ditanggung. Bagi mengetahui potensi lubuk itu, kita perlulah bertanya tekong tentang kesesuaian lubuk itu. Selalunya pemancing digalakkan memberi peluang kepada tekong yang berpengalaman untuk memilih sendiri lubuk mana yang baik untuk dikunjungi.
Semasa merancang dan menganjurkan trip, seeloknya seorang ketua dilantik bagi menguruskan beberapa tanggungjawab penting dan menerajui semua pemancing. Ketua yang dilantik haruslah seorang yang berfikiran terbuka, tetapi tegas serta berpengalaman. Tugas utama seseorang ketua trip ialah untuk berinteraksi dan menjalinkan hubungan yang baik dengan tekong serta mengelakkan sebarang kecacatan yang boleh menjejaskan trip. Ketua juga haruslah menetapkan satu matlamat yang jelas dan rasional dalam sesuatu trip dan menggalakkan semua pemancing mencuba dengan bersungguh-sungguh untuk mencapainya.
Peralatan adalah perkara yang paling asas bagi menentukan kejayaan semasa memancing. Sebelum mengikuti mana-mana trip, pastikan kita telah memiliki segala peralatan yang sesuai, lengkap dan pelbagai. Maksud pelbagai di sini ialah persediaan dalam segala taktik dan teknik sekiranya sesuatu teknik tertentu sahaja tidak membuahkan sebarang hasil yang diingini.
Di samping itu, para pemancing juga haruslah sentiasa mempertingkatkan kemahiran diri. Mereka harus menguasai segala ilmu asas memancing seperti teknik penyediaan umpan, mata kail, perambut, tanduk, segala jenis ikatan, teknik pancingan, taktik menentang spesis ikan tertentu dan sebagainya. Mereka juga tidak harus segan untuk bertanya serta meminta nasihat daripada orang lain yang lebih berpengalaman tentang rahsia-rahsia memancing. Selagi mereka ada kesungguhan untuk memperbaiki kemahiran diri setiap kali turun memancing, selagi itulah mereka akan dapat mengurangkan risiko berlakunya trip-trip kumpau.
Akhir sekali, kita mestilah menanam pemikiran yang positif dalam segala hal untuk menjadi pemancing yang berjaya. Janganlah cepat melatah dan berputus asas terhadap sesuatu kegagalan. Jangan pula sesekali menuding jari dan mencari kesalahan orang lain Bersabarlah dan bersyukurlah dengan rezeki yang diberikan kerana itu adalah sifat pemancing yang sejati. Terimalah sebarang kegagalan sebagai satu cabaran yang amat berguna. Jangan lupa, perkara yang paling penting sebelum turun ke laut ialah memperbanyakkan amal sebagai persediaan kalau nasib kita tidak begitu baik. Siapa dapat menyangka bila akan berlakunya kecelakaan dan mala petaka. Oleh itu kita hendaklah sentiasa beringat dan bersedia dari segala segi.